Pages

Friday 5 May 2017

Punca asas kepada konflik antara PAS dengan Parti Amanah Negara

Perspektif yang berbeza akan menghasilkan penilaian dan reaksi yang berbeza.

Perhatikan gambar di bawah.
 
Dari satu perspektif, kita dapat lihat ini adalah gambar wanita muda berambut ikal mayang. Kulitnya licin dan putih. Umurnya barangkali sekitar 20-an atau awal 30-an.

Dari perspektif lain, kita dapat lihat ini gambar wanita tua. Wajahnya nampak sedih. Kulitnya berkedut-kedut. Umurnya barangkali sekitar 60 tahun ke atas. 

Persoalannya, wanita dalam gambar ini ini sebenarnya tua atau muda? 20-an atau 60-an?


Bagi yang hanya melihat perspektif “wanita muda” akan berkata, “Nampak jelas dia wanita muda dalam lingkungan umur 20-an.”

Orang yang hanya melihat perspektif “wanita tua” pula akan menjawab, “kau ni ketinggalan zaman ke? Kalau 40 tahun lepas barulah boleh dikatakan dia wanita muda. Sekarang jelas dia sudah 60 tahun ke atas”.

Balas pihak lagi satu pula, "Kau ni biar betul... paling tua pun sekitar awal 30-an sahaja. Takkanlah sampai 60 tahun..."

Begitulah…

Selagi kita tidak dapat melihat  (atau enggan melihat) dari perspektif yang berbeza, berbalahlah sampai kiamat sekali pun, kita akan terus yakin dengan jawapan kita dan menyalahkan jawapan orang lain.

Punca asas kepada konflik

Saya menyaksikan terlalu banyak konflik yang berlaku antara dua individu (dan kumpulan) berkisar dari kegagalan melihat perspektif dari pihak yang berbeza dengan kita.  Samada dalam alam kerjaya (konflik antara majikan dan pekerja), alam suami isteri, hubungan ibubapa dengan anak-anak, hubungan adik beradik, dan yang paling jelas dan ketara sekali adalah dalam dunia politik hari ini.

Tidak terkecuali, bagi saya inilah fenomena yang berlaku dalam konflik antara PAS dan ‘rakan semirip’nya iaitu Parti Amanah Negara.  Mungkin saya tersilap dalam membuat ‘generalisasi’. Namun, sekurang-sekurangnya inilah yang berlaku  dalam ‘circle’ sahabat-sahabat saya.

“RUU355 tu umpan UMNO untuk pecahkan PR. Takkan itu pun tak nampak?!”

Itu antara kata-kata penyokong Parti Amanah Negara.

Jawab penyokong PAS pula;

RUU355 hanyalah tanggungjawab umat Islam untuk perkasakan mahkamah syariah. Takkan itu pun tak faham?”

Begitulah…. Masing-masing tidak melihat (atau enggan melihat) dari perspektif orang lain. Melihat kepada 'cara' setiap pihak berhujah, saling tak tumpah sebagaimana perbezaan pendapat tentang "orang tua atau muda" di atas. 

Bagi yang cenderung dengan PAS, akan melihat PAS adalah ‘baik’. Oleh kerana Parti Amanah Negara sedang melawan PAS, maka Parti Amanah Negara dilihat ‘buruk’.  Begitulah sebaliknya. Konflik ini akan terus berpanjangan selagi masing-masing ber’degil’ dengan perspektif masing-masing.


(Apabila bertukar parti, bertukarlah perspektif. Individu yang sama dihadapkan isu yang sama. Tetapi reaksi diberikan berbeza apabila bertukar parti).

.......................

Ada yang berkata, “kita hanya berbeza pendapat atau kefahaman. Masing-masing berhak memilih kefahaman masing-masing”.

Memang benar, secara mata kasarnya kita lihat ini adalah perbezaan pendapat. Kita berbeza dari segi kefahaman tentang maqasid syariah, keutamaan, dan memahami realiti. Namun, adakah perbezaan kefahaman ini yang paling asas?  Mengapa setiap pihak begitu berkeras dengan kefahaman sendiri?

Jika ia hanya melibatkan perbezaan pendapat, sepatutnya ia boleh diselesaikan dengan mudah di meja mesyuarat.  Firman Allah S.W.T (yang bermaksud);

“…dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan itu), apabila telah tetap keazaman maka bertawakallah kepada Allah”. (Al-Imran :159)

Masing-masing memberi pendapat dan hujah. Keputusan dibuat secara kolektif. Semua orang perlu akur kepada keputusan mesyuarat. Pihak yang pandangannya diterima sepatutnya rasa ‘takut-takut’.  Takut-takut pandangannya itu hakikatnya salah lalu mengheret organisasi melakukan kesilapan yang membazirkan masa, wang dan tenaga. Pihak yang pandangannya ditolak pula sepatutnya rasa ‘bersyukur’ kerana tidak ditimpa rasa ‘takut-takut’ itu. Ini adalah asas dalam adab bermesyuarat dan berbeza pendapat.

Jika ia hanya perbezaan pendapat, sepatutnya tidak ada pihak yang sanggup melanggar ketetapan majlis syura dan ketetapan muktamar sehingga tergamak melanggar baiah serta menubuhkan parti baru. Kesannya, hari ini kita terpaksa ‘berperang’ antara satu sama lain. Perbezaan hanya melibatkan pendapat A atau B. Namun, realiti yang berlaku adalah ‘pendapat C ‘  iaitu perpecahan! Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

Saya bimbang ada perkara yang lebih ‘fundamental’(asas) dari sekadar perbezaan pendapat. Iaitulah perbezaan kecenderungan.  Pada pendapat saya, inilah punca pertembungan yang paling asas.

Kecenderungan itu pula ada pelbagai jenis dan rupa. Mungkin kecenderungan “orang lain bodoh aku sahaja yang pandai”, atau “tak sabar rasanya nak menang”, atau “rasa dengki”, atau apa sahaja. Saya hanya namakan beberapa contoh yang terlintas sahaja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). “(Al-Baqarah 2:213)

Dari perbezaan kecenderungan, terhasillah perbezaan perspektif. Dari perbezaan perspektif itulah baru muncul perbezaan pendapat.   Berbalahlah tentang maqasid, aulawiyat, waqie,”TGHH makan dedak atau tidak”,  dan sebagainya…. Jika punca sebenar konflik ini tidak diperhatikan dengan saksama, ia tidak akan ke mana.

Wallahu’alam.

Basri DK
basridk.blogspot.my
5 Mei 2017
9 Syaaban 1438

No comments:

Post a Comment